Bahasa Malaysia, General, Govt, Politics

PRESS: SPRM menggesa agar pegawai penyiasat EAIC digugurkan tetapi PM dan EAIC masih diam membisu

Kenyataan media bersama

140613 | George Town

 Sudah 48 jam tetapi Perdana Menteri mahupun Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) masih lagi gagal untuk memberikan penjelasan yang memuaskan tentang identiti pegawai penyiasat tunggal EAIC Mohd Nadzri Ibrahim, sama ada beliau merupakan pegawai SPRM sama yang terlibat dalam kes mendiang Teoh Beng Hock.

Jika EAIC tidak mampu mengesahkan identiti pegawai penyiasat kanannya, maka kemampuan EAIC amat diragui. Ini ditambah pula dengan kritikan mantan Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid bahawa setelah menelan belanja RM14 juta selama dua tahun sejak 2009, EAIC hanya berjaya mengeluarkan dua amaran dan satu tindakan disiplin dalam tempoh masa tersebut.

Pengakuan SPRM membongkarkan sandiwara Najib dan Paul Low

Dalam perkembangan terbaru, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah tampil mengesahkan bahawa Mohd Nadzir Ibrahim merupakan pegawai SPRM yang telah merakam keterangan Teoh Beng Hock dan kini “dipinjam” kepada EAIC.

Mengikut laporan-laporan berita, pegawai ini juga telah dikenal pasti oleh Majlis Peguam sebagai salah seorang pegawai SPRM yang patut disiasat lanjut atas beberapa tuduhan termasuk mengusik bahan bukti.

Pengakuan daripada SPRM ini adalah dialu-alukan dan jelas membuktikan bahawa janji-janji transformasi dan integriti hanyalah sandiwara oleh Perdana Menteri dan kerajaan Barisan Nasional. Ini kerana seorang pegawai yang terlibat dalam kes kematian dalam tahanan yang masih tiada hujung pangkal kini dilantik sebagai pegawai penyiasat kanan dalam kes kematian dalam tahanan yang lain.

Demi melanjutkan hayat pentadibran Barisan Nasional, Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Razak enggan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) dan sebaliknya telah menubuhkan EAIC yang bukan sahaja tidak mampu menyelesaikan masalah malah langsung tidak mendapat keyakinan rakyat. Dengan melengahkan penubuhan IPCMC, masalah kematian dalam tahanan semakin berleluasa sehingga mencatat sembilan kes dalam enam bulan pertama tahun ini dan empat kes dalam masa dua minggu yang lepas.

Datuk Paul Low selaku “Menteri Integriti” pula telah gagal melaksanakan tanggungjawab beliau dan terbukti tidak berpegang kepada prinsip Transparency International yang telah diterajui beliau sebelum diangkat menjadi menteri. Beliau juga telah gagal bukan sahaja dalam membawa pembaharuan dalam pentadbiran kerajaan Persekutuan, malah Paul Low telah bersekongkol mempertahankan EAIC, lantas menjadi salah seorang watak dalam sandiwara Barisan Nasional ini.

Najib tidak patut berlengah lagi

Justeru, kami menggesa Dato’ Sri Najib yang masih lagi diam membisu tentang hal ini supaya mengambil tindakan serta merta untuk menggugurkan pegawai tersebut daripada EAIC, sepertimana yang telah disyorkan oleh SPRM sendiri. Beliau juga harus memansuhkan harimau tidak bertaring EAIC dan menubuhkan IPCMC dengan kadar segera.

Steven Sim Chee Keong
Ahli Parlimen Bukit Mertajam

Zairil Khir Johari
Ahli Parlimen Bukit Bendera

About stevensim

www.about.me/stevensim

Discussion

One thought on “PRESS: SPRM menggesa agar pegawai penyiasat EAIC digugurkan tetapi PM dan EAIC masih diam membisu

  1. Pasukan petugas EAIC yang ditubuhkan untuk menyiasat kematian-kematian dalam tahanan, merangkumi enam orang pegawai EAIC, iaitu pengerusi Datuk Heliliah Mohd Yusof, pesuruhjaya Datuk Seri Robert Jacob Ridu, setiausaha Ahmad Razif Mohd Sidek, pengarah Foo Hui Yi, penasihat undang-undang Eda Mazuin Abdul Rahman dan pegawai penyiasat tunggal EAIC, Mohd Nadzri Ibrahim.

    Posted by Wilburn Pope | July 15, 2013, 11:31 pm
%d bloggers like this: