Bahasa Malaysia, Community, Featured, General, Govt, Politics

PRESS: Kabinet mesti cekap, akauntabel dan telus – Perdana Menteri patut tolak jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Menteri Kewangan

Kenyataan Media

150513 | Bukit Mertajam

Perdana Menteri Najib Tun Razak akan mengumumkan Kabinet Menteri yang baru pada hari ini. Demi kesejahteraan negara, saya mengesa supaya beliau melantik Kabinet yang cekap, akauntabel dan telus.

Beberapa perkara penting yang beliau patut lakukan; Pertama sekali, Perdana Menteri Najib Tun Razak tidak patut menyandang jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Ini bukan kerana beliau seorang lelaki, tetapi kerana beliau telah gagal memenuhi aspirasi keadilan gender dan pengupayaan wanita semasa beliau menyandang jawatan tersebut tahun lepas.

Perwakilan wanita di Parlimen bukan sahaja gagal mencapai matlamat yang dicadang oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu sekurang-kurangnya 30% perwakilan wanita di peringkat pembuat keputusan, malah peratusan Ahli Parlimen wanita telah menyusut dari 10.4% pada penggal lepas kepada 9.9% pada penggal baru ini. Malah pada Oktober tahun lepas, Perdana Menteri semasa perayaan Hari Wanita Kebangsaan telah mengeluarkan kenyataan bahawa tidak perlu ada perjuangan hak asasi wanita di Malaysia. Kenyataan sebegini menunjukkan bahawa Perdana Menteri sendiri tidak faham nasib wanita di negara kita. Dari segi pengupayaan wanita, kita masih ketinggalan jauh. Dalam laporan Indeks Jurang Gender Global (Global Gender Gap Index), Malaysia jatuh dari kedudukan ke-97 pada 2011 ke kedudukan ke-100 pada 2012. Dalam sektor pengupayaan politik untuk kaum wanita, negara kita berada pada kedudukan ke-120 di kalangan 135 negara. Justeru, Najib tidak layak dan tidak sesuai lagi memegang jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Keduanya, saya juga mengesa agar Perdana Menteri tidak lagi memegang jawatan Menteri Kewangan pada masa yang sama. Ini adalah untuk memastikan ketelusan dalam pengurusan kewangan kerajaan. Tradisi Perdana Menteri memegang jawatan Menteri Kewangan bermula dari zaman Tun Dr. Mahathir apabila beliau telah mengambilalih tugasan tersebut daripada Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Anwar Ibrahim. Setiap Perdana Menteri yang seterusnya termasuk Najib telah meneruskan budaya pemusatan kuasa berlebihan di tangan Perdana Menteri yang dimulakan oleh Tun Dr. Mahathir tersebut. Tambahan pula, di bawah penyeliaan Najib sebagai Menteri Kewangan, hutang negara Malaysia mencecah kadar paling tinggi dalam sejarah negara kita.

Akhir sekali, saya berharap jika Perdana Menteri Najib Tun Razak ikhlas untuk meneruskan transformasi kerajaan, maka beliau patut melantik orang-orang yang berwibawa untuk menjawat jawatan dalam Kabinet dan bukan menggunakan jawatan Kabinet sebagai “anugerah” kepada kroni. Pemimpin-pemimpin yang tidak menang dalam PRU13 tetapi telah menunjukkan rekod perkhidmatan yang baik seperti Saifuddin Abdullah dan Abdul Ghani Othman perlu mendapat pertimbangan wajar dalam Kabinet baru.

Steven Sim Chee Keong
Ahli Parlimen, Bukit Mertajam
Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan, DAPSY

About stevensim

www.about.me/stevensim

Discussion

Comments are closed.

%d bloggers like this: