Bahasa Malaysia, Community, General, Govt, Politics

PRESS: Tragedi Projek Jambatan Pulau Pinang Ke-2, DAPSY ucap takziah dan gesa pembaharuan dalam perundangan

Kenyataan media

070513 | George Town

Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Pulau Pinang berasa kesal terhadap tragedi yang berlaku di projek Jambatan Pulau Pinang Kedua petang semalam. Ini merupakan tragedi keruntuhan infrastruktur awam yang terbesar di Pulau Pinang sejak keruntuhan jambatan di Terminal Feri Sultan Abdul Halim pada tahun 1988.

DAPSY mendoakan kesihatan dan keselamatan mangsa yang terlibat. Kami juga mengucapkan syabas kepada anggota pasukan penyelamat termasuk sukarelawan yang terlibat.

DAPSY menegaskan di sini bahawa projek-projek sivil mestilah dilaksanakan berpandukan garis panduan dan syarat-syarat yang ketat. Sejak kebelakangan ini, sudah banyak tragedi keruntuhan projek awam kelolaan kerajaan UMNO-BN seperti di Stadium Sultan Mizan Terengganu, flyover di Cyberjaya, dan keretakan jambatan di MRR2. Justeru, kami berpendapat perundangan sedia ada memang tidak mencukupi untuk menanangi masalah ini, terutamanya jika melibatkan elemen salahguna kuasa. Antara langkah-langkah pembaharuan yang patut dilaksanakan segera ialah:

1) Mewajibkan tender terbuka untuk mendapatkan kontraktor yang paling cekap dan berkos efisien.

2) Pengauditan oleh pihak bebas, termasuk segala laporan penilaian impak. Pada masa kini laporan impak dilaksanakan oleh konsultan yang dilantik sendiri oleh kontraktor.

3) Pemantauan yang ketat dan penguatkuasaan undang-undang yang tegas.

4) Penyenarai-hitamkan pemaju/akitek/jurutera yang melanggar undang-undang daripada mendapat kelulusan kebenaran merancang pada masa depan. Proses penyenaraihitam mestilah berdasarkan prinsip “piercing the corporate veil”,  iaitu menyenaraihitam nama pemilik syarikat dan bukan hanya entiti perniagaan untuk mengelakkan pemilik yang tidak bertanggungjawab bersembunyi di sebalik entiti perniagaan.

Akhir sekali, DAPSY Pulau Pinang menggesa kerajaan pusat untuk serta merta menerbitkan satu laporan siasatan menyeluruh tragedi kepada awam.

Steven Sim Chee Keong
Setiausaha Publisiti, DAPSY Pulau Pinang
Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan, DAPSY Malaysia
Ahli Parlimen Bukit Mertajam

About stevensim

www.about.me/stevensim

Discussion

Comments are closed.

%d bloggers like this: