Bahasa Malaysia, Community, Featured, General, Mind, Philosophy, World

ARTICLE: Krismas sepuluh tahun dahulu

Originally published in themalaysianinsider.com

DEC 24 – Menjelang Krismas, saya teringat kembali suatu peristiwa yang berlaku hampir 10 tahun yang lalu. Pada suatu tahun semasa di universiti, Persaudaraan Kristian Varsiti yang saya sertai menganjurkan malam sambutan Krismas seperti tahun-tahun yang lalu.

Malam sambutan Krismas tersebut bertujuan meraikan kelahiran Jesus Christ atau dalam Islam dikenali sebagai Nabi Isa Al Masihi (“Christ” ialah terjemahan bahasa Yunani untuk “Messiah” dalam bahasa Ibrani yang bermaksud “Yang Terpilih”). Jesus Christ menurut kitab Bible dilahirkan lebih kurang 2,000 tahun dahulu di sebuah kota kecil bernama Bethlehem kira-kira 100 km ke timur laut Gaza hari ini. Walaupun tidak diketahui tarikh sebenar hari kelahiran Jesus, namun masyarakat Kristian kini meraikan kelahirannya pada setiap 25 Disember.

Pada tahun tersebut, Persaudaraan Kristian Varsiti telah menganjurkan malam sambutan Krismas di salah sebuah dewan besar dalam universiti dan semua warga universiti bukan Muslim dijemput.

Mengapa hanya jemput bukan Muslim?

Sebab pemerintah kata tak boleh mendedahkan kawan-kawan beragama Islam kepada aktiviti mahupun ajaran agama lain.

Mungkin kerajaan berniat baik, ingin melindungi umat Islam di Malaysia daripada menjadi keliru apabila mereka menyertai aktiviti agama lain ataupun membaca bahan-bahan tentang agama lain. Justeru, buku-buku agama lain kena cop “For non Muslims only”.

Pada tahun 2011, kerajaan pusat telah merampas dan menahan 35,000 naskah Bible bahasa Melayu. Sebahagian besar Bible tersebut akan digunakan oleh penganut agama Kristian di Sabah dan Sarawak yang rata-ratanya berbahasa Melayu. Selepas protes dan rayuan bertubi-tubi maka Bible tersebut dibenarkan untuk dituntut semula oleh pihak gereja Malaysia. Namun, salah satu syarat ialah untuk cop “Untuk agama Kristian sahaja”. Sekali lagi, mungkin kita patut menghargai niat baik kerajaan untuk melindungi umat Islam daripada keliru jika mereka membaca Bible tersebut.

Ini mengingatkan saya kepada Dr. Martin Luther, yang dikenali ramai dalam sejarah sebagai salah seorang tokoh “Reformation” yang kemudiannya mengakibatkan perpecahan dunia Kristian barat kepada mazhab Roman Katolik dan mazhab Protestant.

Pada tahun 1542, Martin Luther telah mempertahankan John Oporin, seorang pencetak dari Basel, Switzerland yang telah dihukum oleh kerajaan tempatan ketika itu kerana mencetak Al Quran dalam bahasa Latin, bahasa kesusasteraan Eropah zaman tersebut. Naskah-naskah Al Quran dalam bahasa Latin cetakan Oporin telah dirampas oleh kerajaan. Dan mereka berniat baik, alasannya ialah takut jika orang Kristian Eropah akan keliru jika mereka membaca Al Quran tersebut.

Nampaknya pemerintah walau berlainan zaman dan agama semuanya bersifat kebapaan (patrikal), melihat rakyat mereka sebagai anak kecil yang lemah, tidak mampu berfikir dan membezakan baik buruk, betul salah, dan yang paling penting mudah keliru. Justeru rakyat perlu dilindungi dan cara terbaik untuk melindungi mereka ialah dengan menjauhkan mereka daripada terdedah kepada ilmu pengetahuan yang berbeza pendapat.

Luther, walaubagaimanapun tidak setuju dengan kaedah tersebut. Beliau berhujah mempertahankan Oporin dan pencetakkan Al Quran dalam bahasa Eropah. Akhirnya kerajaan bersetuju membebaskan Oporin dan membenarkan pencetakkan tersebut. Sememangnya Luther bukan seorang yang percaya kepada ajaran dalam Al Quran.

Namun sebagai seorang ilmuan agama, beliau menjadi berminat dengan agama Islam dan kerajaan Islam Uthmanniyah (Ottoman) yang ketika itu mencapai kegemilangan di Eropah di bawah pemerintahan Sulaiman al-Kanuni. Luther berpendapat pengupayaan umat Kristian tidak berlaku dengan menghalang kepada pengetahuan, tetapi sebaliknya dengan pendedahan kepada pengetahuan. Dalam kata lain, pemikiran masyarat tidak menjadi matang dengan menahan ilmu daripada sampai kepada mereka, tetapi dengan memperkasakan mereka melalui pendidikan dan pendedahan kepada pelbagai ilmu. Justeru, negara Barat kuat kerana budaya dahagakan ilmu yang berasal daripada tradisi agama Kristian sejak dulu lagi. (Nota: adalah tidak tepat mengaitkan dunia Barat dengan dunia Kristian, agama Kristian berasal dari tanah Palestin tempat kelahiran Jesus Christ)

Itu tentang Luther. Itu cerita sampingan kepada cerita asal saya.

Berbalik kepada cerita asal, jadi pada tahun tersebut apabila Persaudaraan Kristian Varsiti menganjurkan malam sambutan Krismas, tiba-tiba kami dikunjungi “pelawat tidak diundang”. Semua pemimpin Persaudaraan Kristian terkejut apabila nampak serombongan ahli-ahli Persatuan Mahasiswa Islam Universiti hadir ke majlis tersebut. Budak-budak Kristian ada yang panik – nanti pihak universiti mengambil tindakan terhadap komuniti Kristian macam mana? Sebab program kami “For non Muslims only”.

Ada pula yang berasa kekok -selalunya kita ke rumah terbuka Hari Raya, tapi tak pernah kawan-kawan Muslim ke sambutan Krismas. Saya antara yang ditugaskan untuk menyambut tetamu-tetamu beragama Islam tersebut. Saya sebenarnya pun berasa khuatir; gembira melihat rakan-rakan beragama Islam datang program kami, tapi gembira bercampur gusar. Maklumlah dari dulu lagi, kita diberitahu jangan jemput orang Islam ke aktiviti kita, jangan berikan buku Kristian kepada mereka, jangan beri mereka masuk ke gereja, kalau tidak akan kena tindakan undang-undang.

Jadi sebagai langkah berwaspada, saya menghampiri salah seorang daripada mahasiswa Islam tersebut, dan membisik kepadanya, “Saudara tahukan ini program sambutan Krismas memperingati kelahiran Jesus Christ?”

“Ya, kami tahu”.

Susah saya nak nyatakan secara terus-terang kegusaran budak-budak Kristian yang anjur program tersebut tanpa dilihat sebagai tidak bersopan kepada tetamu kami. Melihat keresahan kami, maka salah seorang daripada budak Islam itu pun kata, “Kami juga mengimani Isa Al Masihi sebagai nabi, jadi kami percaya Isa dilahirkan oleh Mary (Mariam) walaupun Mary masih anak dara lagi. Jadi kalau kira ini sambutan “birthday” Isa, maka kami pun nak mai tengok bersama.”

Belum saya tenang daripada kejutan “pelawat tanpa diundang” kami itu, saya dikejutkan oleh kenyataan mereka. Tiba-tiba, pandangan saya terhadap kawan-kawan beragama Islam berubah. Rupa-rupanya mereka tidak lemah dan tidak mudah keliru sepertiyang sering digambarkan. Mereka berpegang teguh kepada kepercayaan agama mereka dan bijak menilai – tahu apa yang benar apa yang salah. Malah mereka tidak pula mengasari agama lain. Luther tentu bangga, jika beliau tidak bersetuju sekalipun dengan kepercayaan agama mereka. Tapi Luther patut tahu (beliau kan mempertahankan terbitan Al Quran dalam bahasa Latin), kitab orang Islam sendiri mengajak kepada mendalami bukan memusuhi ilmu. Nabi orang Islam sendiri, menyeru supaya menuntut ilmu biar sampai ke negeri China.

Orang Islam ataupun sesiapa sahaja yang cintakan kebenaran tidak akan mudah keliru. Mereka yang cintakan kebenaran tidak akan menghalang ilmu dan pengetahuan. Mereka yang cintakan kebenaran sudah tentu tidak akan menganiaya orang lain semata-mata perbezaan pendapat. Mereka yang cintakan kebenaran senang diajak berbicara dan berhujah, bukan menengking dan bertumbuk. Mereka yang cintakan kebenaran memilih buku, bukan buku lima.

Pada Krismas sepuluh tahun yang lalu, saya insaf kawan-kawan Islam saya juga termasuk dalam golongan mereka yang cintakan kebenaran.

Selamat hari Krismas kepada semua.

* Steven Sim ialah Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Pulau Pinang dan Setiausaha Publisiti Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Pulau Pinang.

* This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of The Malaysian Insider.

About stevensim

www.about.me/stevensim

Discussion

Comments are closed.

%d bloggers like this: