Bahasa Malaysia, Community, Featured, General, Govt

PRESS: Campurtangan politik UMNO-Barisan Nasional cemar PDRM

1211012 | Bukit Mertajam

Belum seminggu selepas Pemuda Sosialis Parti Tindakan Demokratik (DAPSY) Pulau Pinang mengeluarkan kenyataan mengecam tindakan polis yang tidak profesional dan melanggar undang-undang serta hak asasi manusia dalam mengendalikan kes Ahmad Abdul Jalil, kita dikejutkan lagi dengan dakwaan bahawa seorang wanita warga Indonesia telah dirogol semasa berada dalam tahanan polis.

Semua ini jelas menunjukkan kegagalan sistem penguatkuasaan undang-undang di negara kita akibat kepimpinan kerajaan pusat UMNO-Barisan Nasionali yang tidak kompeten dan tidak berupaya menjamin kecekapan, maruah dan nasib anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM). Kerajaan UMNO-Barisan Nasional lebih suka menjalankan kempen perhubungan awam (public relation) serta mengarah risikan politik daripada menyalurkan sumber untuk memperkasakan pasukan polis dalam mengendalikan kes jenayah. Kegagalan UMNO-Barisan Nasional sekaligus menjejaskan prestasi serta profesionalisme PDRM.

DAP dan DAPSY, Pakatan Rakyat dan rakyat Malaysia secara amnya telah serik menegaskan perlunya reformasi dalam pasukan penguatkuasa undang-undang termasuk PDRM dan Suruhanjaya Pencegas Rasuah Malaysia (SPRM). Sebelum ini pada bulan Ogos yang lalu, seorang lelaki bernama Cheah Chin Lee telah mati dalam tahanan polis di Pulau Pinang. DAPSY mengenang dengan sedih dan marah kes kematian Sdr Teoh Beng Hock, serta kes kematian dalam tahanan dan kematian mengejutkan yang berkaitan dengan pihak penguatkuasa seperti A. Kugan, adik Amirulrasyid, Syed Fadzil Syed Ibrahim, Hasrizal Hamzah, Francis Udayappan, Dr. Tai Eng Teck, Ahmad Salleh. Sehingga kini, keluarga mangsa-mangsa ini dan rakyat Malaysia masih lagi menunggu keadilan untuk dilaksanakan.

Kementerian Dalam Negeri telah melaporkan bahawa telah berlaku 1,531 kematian dalam tahanan di antara tahun 2003 dan 2007.

Kerajaan pusat terus berdegil dan enggan melaksanakan saranan laporan Pesuruhjaya Polis Dzaidin 2005 termasuk menubuhkan sebuah Suruhanjaya Bebas Aduan Terhadap Polis dan Salah Laku Polis (Independent Police Complains and Misconduct Commission – IPCMC) supaya kepercayaan rakyat terhadap PDRM dapat dipulihkan. Ini jelas membuktikan bahawa UMNO-Barisan Nasional sanggup mengadaikan imej PDRM demi kepentingan politik.

Perdana Menteri Najib Tun Razak patut melucutkan jawatan sepupu beliau, Hishammuddin Tun Hussien sebagai Menteri Dalam Negeri kerana sekian lama gagal membawa perubahan positif dan mengangkat martabat Polis DiRaja Malaysia serta membenarkan satu demi satu tragedi berulang mencemar pasukan penguatkuasa undang-undang negara kita.

Steven Sim Chee Keong
Setiausaha Publisiti DAPSY Pulau Pinang
Ahli Majlis Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP)

(Photo source: The Internet)

About stevensim

www.about.me/stevensim

Discussion

Comments are closed.

%d bloggers like this: