Bahasa Malaysia, Featured, General, Govt, Politics

PRESS: Sistem Pendidikan Hambar di bawah UMNO-BN

081012 | Bukit Mertajam

Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Pulau Pinang berasa kecewa dengan pencapaian universiti-universiti Malaysia dalam laporan Times Higher Education World University Rankings 2013 yang baru diterbitkan minggu lepas. Tiada sebuahpun universiti Malaysia yang berjaya tersenarai dalam 400 universiti terbaik dunia, wahal universiti negara jiran, Singapura tersenarai sebagai 30 universiti yang terbaik (National University of Singapore, kedudukan ke-29) dan 100 universiti yang terbaik (Nanyang Technological University, kedudukan ke-86). King Mongkut’s University of Technology di Thailand turut disenaraikan dalam kategori terakhir, berkedudukan antara 351-400.

Di masa kerajaan UMNO-BN membuai rakyat dengan slogan, “Malaysia Boleh”, rakyat Malaysia terutamanya orang muda dan mahasiswa tertanya-tanya di apakah kedudukan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) Malaysia jika dibandingkan dengan universiti-universiti negara lain?

DAPSY Pulau Pinang percaya kemunduran ini bukan sesuatu yang tidak terelak. Malaysia dan rakyat Malaysia sememangnya mampu bersaing di mata dunia pada tahap yang tertinggi. Masalahnya ialah kepincangan urustadbir universiti-universiti awam di Malaysia yang terperangkap dalam permainan politik UMNO-BN.

Hilang autonomi
IPTA kita telah kehilangan autonomi apabila Kerajaan UMNO-BN di peringkat pusat masuk campur dalam urusan pentadbiran universiti. Universiti tidak seharusnya menjadi alat propaganda; kerajaan mahupun parti politik tidak patut diberi kuasa penentuan dalam segala hal perlantikkan pentadbir tertinggi, profesor dan pensyarah.

Autonomi bukan sahaja pada nama, tetapi warga universiti termasuk warga akademik patut memainkan peranan yang penting. Para cendekiawan universiti juga patut tegas mempertahankan kemerdekaan kerja mereka daripada terus diperalatkan sebagai jurucakap parti pemerintah. Fenomena profesor carma (cari makan) amat memalukan lingkungan intelektual negara, justeru seluruh warga universiti patut bangkit menolak mereka yang tidak kritis menjadi jurucakap pemerintah semata-mata kerana habuan dan bukan atas integriti akademik.

Gejala ‘carma’ ini adalah kesan daripada perlaksanaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971. Ahli akademik muda kita kini sebahagiannya merupakan generasi AUKU 1971. Mereka di-didik dengan kepatuhan, menghilangkan daya kritis mereka. Setelah lebih 40 tahun perlaksanaan AUKU, Malaysia hampir kepupusan intelektual awam (public intellectual) yang berhujah atas paksi kebenaran. Umpamanya dalam tinjauan The FOREIGN POLICY/Prospect 2008 World’s Top 100 Public Intellectuals, didapati tiada seorang pun cendekiawan dari universiti di Malaysia yang tersenarai, sebaliknya Indonesia berjaya menyenaraikan Anies Baswedan, ahli sains politik, Presiden Universiti Paramadina, Jakarta di tangga 60.

Perkembangan mahasiswa terbantut
Bahkan, universiti patut dijadikan tempat wacana ilmiah terbuka bagi membuahkan para pemikir masa depan negara, bukannya tempat menghasilkan robot yang hanya mampu mengulangi ide-ide kerajaan. Kerajaan pusat yang degil enggan memansuhkan AUKU dan hanya sekadar meminda jelas ingin terus mengongkong idealisme mahasiswa.

Pindaan AUKU 2012 hanya berfokus pada seksyen 15, berkenaan hak berpersatuan kalangan mahasiswa, sedangkan perkara yang lebih besar impaknya adalah campur tangan besar-besaran kerajaan pusat dalam pentadbiran dan akademik universiti. Manakala yang menjadi penghalang di peringkat mahasiswa adalah penubuhan Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang mengambil alih peranan urusan pentadbiran dan kawalan termasuk kewangan dan perancangan aktiviti pelajar daripada Persatuan Mahasiswa. Mahasiswa diberi layanan bagaikan mereka pelajar sekolah rendah yang tidak mampu mandiri.

Justeru, pindaan AUKU baru-baru in tidak kena pada tempatnya. Perjuangan gerakan mahasiswa bukan semata-mata menuntut untuk menyertai parti politik, selama ini yang diperjuangkan adalah kebebasan akademik dan hak untuk berfikir.

Di dalam IPTA, AUKU, di luar IPTA pula undang-undang zalim seperti ISA, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, dan Akta Rahsia Rasmi (OSA) antara lainnya, mematahkan kemerdekaan jiwa anak muda kita, menghapuskan pemikiran kritis dan seterusnya membantutkan pembangunan minda yang menyeluruh.

Mutu pendidikan yang hambar
Oleh sebab fenomena yang disebut, kualiti pendidikan tinggi mahupun pendidikan secara amnya yang ditawarkan oleh sistem pendidikan di Malaysia amat mendukacitakan. Sistem pendidikan dijadikan medan berpolitik dan buktinya dasar-dasar flip-flop kerajaan pusat seolah-olah UMNO-BN tidak serius memandang bidang pendidikan dan menjadikan anak-anak kita sebagai bahan eksperimen.

Pemusatan pendidikan di tangan kerajaan pusat dan keputusan atas-bawah dalam penentuan dasar pendidikan menyebabkan ketidakseimbangan hasil (outcome) kerana tiada pertimbangan diberikan kepada keperluan sub-nasional. Seawal Penyata Razak pada tahun 1956 telah dicadangkan supaya kuasa diberikan kepada pihak berkuasa tempatan untuk menyelenggara pendidikan rendah dan pendidikan kemahiran perdagangan (kursus 2 tahun selepas pendidikan rendah untuk kemahiran bidang pertanian, penternakan, ekonomi rumahtangga dll). Perlu diingatkan bahawa pada ketika Penyata Razak diterbitkan, ahli majlis pihak berkuasa tempatan dipilih melalui pilihanraya setempat.

Satu laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun lepas tentang pencapaian Malaysia dalam projek “Millenium Development Goals” menunjukkan bahawa walaupun kadar celik huruf mencecah 97% di Malaysia, kualitinya masih jauh ketinggalan berbanding negara-negara serantau seperti Singapura, Korea Selatan, Taiwan dan juga Thailand di peringkat “lanjut” dalam penilaian antarabangsa tentang pengetahuan matematik dan sains, Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS).

DAPSY Pulau Pinang berpendapat hanya dengan reformasi menyeluruh kita dapat menyelamatkan IPTA khususnya dan sistem pendidikan tanah air secara amnya. Namun, reformasi ini hanya akan berlaku jika ada perubahan di kerajaan pusat. Dasar UMNO-BN bukan sahaja terbukti merosakkan tradisi keilmuan universiti, malah mengancam masa depan bangsa dan negara Malaysia.

Steven Sim Chee Keong
Setiausaha Publisiti, DAPSY Pulau Pinang
Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP)

About stevensim

www.about.me/stevensim

Discussion

Comments are closed.

%d bloggers like this: