Bahasa Malaysia, Featured, General, Govt, Politics

PRESS: Tindakan henti PTPTN kepada UNISEL berunsur aniaya dan bercanggah dengan Perlembagaan

 

Kenyataan media

070612 | Pulau Pinang

Saya merujuk kepada kenyataan Menteri Pengajian Tinggi Mohamed Khaled Nordin yang dilaporkan di Malaysiakini pada 7 Jun 2012 (“Minister confirms freezing PTPTN to Unisel) bahawa tindakan menghentikan pinjaman PTPTN kepada mahasiswa-mahasiswa Universiti Selangor (UNISEL) adalah untuk mencabar keupayaan kerajaan negeri Selangor memberikan pendidikan universiti percuma.

Kenyataan beliau bukan sahaja berbaur politik sempit malah adalah bercanggah dengan peruntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Pertama sekali, tindakan beliau adalah sama sekali tidak bertanggungjawab dan tidak bermoral kerana sebagai Menteri Pengajian Tinggi, Mohamed Khaled Nordin telah mempertaruhkan masa depan serta pendidikan anak-anak muda Malaysia demi permainan politik UMNO-Barisan Nasional.

Keduanya, pendidikan merupakan tanggungjawab sepenuhnya kerajaan pusat di bawah Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan. Justeru, tindakan Menteri Pengajian Tinggi sebagai seorang anggota Badan Eksekutif negara yang telah menolak bulat-bulat tanggungjawab kerajaan pusat kepada kerajaan negeri Selangor adalah bercanggah dengan undang-undang tertinggi negara kita. Perdana Menteri patut segera menolak serta mengecam tindakan dan kenyataan Mohamed Khaled Nordin supaya kerajaan pusat tidak didakwa menghina Perlembagaan dan mengenepikan tugas mereka.

Akhir sekali, saya menyeru UMNO-BN agar melawan dasar alternatif yang dibawa oleh Pakatan Rakyat dengan logik akal dan dasar yang lebih baik, bukan menganiaya mahasiswa-mahasiswa yang tidak bersalah hanya demi menunjukkan kekuatan kuasa kerajaan pusat.

Steven Sim

Ahli Majlis MPSP

Bendahari Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Pulau Pinang

About stevensim

www.about.me/stevensim

Discussion

Comments are closed.

%d bloggers like this: