Bahasa Malaysia, Community, General, Govt, Politics

PRESS: Krisis menjadi peluang untuk amal ketelusan

My adjournment speech in the MPSP full council meeting on 29 February 2012. Among others, it called for transparency in local government.

See here for chinese translation of the speech.

——————————

Dunia melangkah ke dekad ke2 dalam abad ke21 ini dengan menyaksikan satu krisis yang melanda masyarakat dunia. Saya memanggilnya krisis kerana fenomena ini berlaku dengan terlalu mendadak dan dalam skala yang amat besar serta mampu memusnahkan struktur dan institusi yang sedia ada. Namun krisis ini juga menjana peluang untuk perkembangan seterusnya umat manusia secara am, Pulau Pinang dan Seberang Perai secara khususnya.

Krisis ini ialah revolusi pemikiran yang simbolnya tentulah Steve Jobs, pengasas dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Apple Inc. Ciri utama revolusi pemikiran ini ialah keberanian individu dan masyarakat untuk menonjolkan kelainan dalam pemikiran mereka, dalam kata lain, manusia berani mencetus idea idea di luar kotak tradisi. Ini antara lain dijana oleh perkembangan mendadak dalam kecapaian maklumat (access to information). Maklumat dicapai dan dikongsi dengan lebih pantas, lebih murah dan pada skala yang lebih besar. Contohnya, pada setiap jam dan minit, sesebuah syarikat korporat boleh memperoleh data trend ataupun corak kepenggunaan berpuluh-juta pengguna di seluruh dunia, termasuk minat dan kecenderungan mereka terhadap produk ataupun perkhidmatan tertentu. Data-data ini mudah diperoleh dengan mengumpul corak carian dalam laman Google ataupun corak posting yang disiarkan dalam Facebook.

Mengambil contoh yang lebih dekat, saya amat suka mengulangi ucapan YDP baru-baru ini semasa taklimat Ahli Majlis di Cameron Highlands. Beliau menceritakan bagaimana kini Majlis tidak hanya bergantung pada pegawai kita yang sememangnya terhad jumlah mereka untuk memantau masalah-masalah perbandaran di seluruh Seberang Perai yang luas, tetapi MPSP juga menggunakan rangkaian pengguna Facebook untuk memantau isu-isu berbangkit di kawasan masing-masing dan melaporkannya melalui laman MPSP Watch kepada Majlis.

Revolusi pemikiran ini bukan sahaja menyebabkan pembangunan teknologi yang pesat, contohnya Apple, malah mencetus revolusi politik di tempat-tempat yang tidak dijangka seperti negara-negara bekas USSR, Afrika, Arab dan Asia. Apabila masyarakat mempunyai lebih banyak maklumat dan berani berfikir di luar pemikiran perdana ataupun mainstream, maka rakyat akan bangkit menyoal tradisi-tradisi sedia ada termasuk aktiviti, dasar dan halatuju kerajaan.

Dalam aspek ini, kerajaan mesti sedar bahawa ketelusan adalah satu nilai yang tidak dapat ditawar menawarkan. Pada masa dahulunya, kerajaan berkuasa melalui monopoli maklumat, termasuk monopoli faktor penyebaran maklumat seperti media massa, radio, surat khabar dan tv. Malah begitu banyak kerajaan termasuk kerajaan Malaysia di peringkat pusat mempunyai akta rahsia rasmi yang mengehadkan capaian rakyat ke atas maklumat-maklumat tertentu.

Selepas krisis revolusi pemikiran, semua ini akan berubah. Sama ada kerajaan memberikan maklumat atau tidak, maklumat akan disebarkan, dikongsi dan dicapai pada skala besar, pantas dam murah. Dalam sistem demokrasi seperti Malaysia, rakyat akan bangkit membangkang menggunakan maklumat-maklumat baru tersebut. Justeru, kerajaan haruslah telus. Kerajaan haruslah berada di baris hadapan menawarkan maklumat operasinya secara berterusan. Dalam hal ini, saya menyeru supaya MPSP mengkaji semula pengurusan maklumat Majlis. Pulau Pinang mendahului negeri-negeri lain dari segi ketelusan melalui prinsip pentadbiran CAT. Dewan Undangan Negeri juga dalam proses menggubal enakmen kebebasan maklumat. Justeru, tiada alasan mengapa MPSP tidak boleh menerapkan unsur-unsur ketelusan secara lebih meluas dalam operasi kita.

Di sini izinkan saya memberi tiga cadangan sebagai permulaan:

1. Majlis perlu menambahkan usaha menyebar maklumat tentang mesyuarat biasa Majlis ataupun lebih dikenali sebagai mesyuarat Majlis Penuh, kepada orang awam serta mempertingkatkan penglibatan orang awam dalam mesyuarat Majlis Penuh. Mesyuarat ini merupakan instrumen utama meluluskan dasar kerajaan tempatan justeru amat penting melibatkan orang awam terutamanya warga Seberang Perai. Dalam aspek ini, saya juga menyeru pihak media untuk bekerjasama memberikan peringkatan setiap bulan sebelum mesyuarat Majlis Penuh pembaca agar orang awam turut menghadiri mesyuarat ini.

2. Membenarkan orang awam untuk mendaftar bagi menyertai mesyuarat jawatankuasa sebagai pemerhati. Akta Kerajaan Tempatan 1976 s23 memperuntukkan penyertaan orang awam termasuk dalam mesyuarat jawatankuasa. Akta ini juga menekankan prinsip ketelusan dalam mesyuarat pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan memperuntukkan bahawa semua mesyuarat PBT adalah terbuka kepada orang awam, mengambilkira pengecualian-pengecualian tertentu.

3. Penyiaran ataupun penyebaran maklumat dalam laman web MPSP – termasuk minit mesyuarat, laporan kemajuan berkala, dokumen berkaitan budget dan sebagainya.

Saya ingin menegaskan di sini bahawa, dalam krisis revolusi pemikiran ini, sama ada sesebuah kerajaan itu menyiarkan maklumat mereka atau tidak, rakyat akhirnya akan memperolehinya. Bayangkan pada hari ini resit-resit perbelanjaan dan perbualan-perbualan tertutup boleh disiarkan dalam Internet. Kita di pihak kerajaan perlu sedar bahawa kawalan dan monopoli maklumat oleh kerajaan telahpun dimusnahkan oleh krisis ini. Kerajaan yang masih menyimpan rahsia daripada rakyat akan dihukum rakyat. Ketelusan dan bercakap benar bukan lagi pilihan yang kita boleh tolak, nilai-nilai ini pada hari ini adalah kewajiban kerajaan demokrasi yang tidak dapat ditawar menawarkan.

Steven Sim

About stevensim

www.about.me/stevensim
%d bloggers like this: