Bahasa Malaysia, Featured, General, Govt, Politics

PRESS: Hukuman ke atas Adam Adli: UPSI belot tradisi kritis Ibrahim Yacoob dan Pendeta Za’ba

Kenyataan Media

090112 | Bukit Mertajam, Pulau Pinang

Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Pulau Pinang mengecam tindakan pentadbiran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menggantung pengajian Adam Adli Abdul Halim selama tiga (3) semester. Justifikasi pihak universiti dalam mengambil tindakan tersebut ialah bahawa tindakan Adam Adli menurunkan bendera berimejkan portret Perdana Menteri menjatuhkan nama baik universiti dan mengancam keamanan dan moral awam.  Alasan tersebut bukan sahaja tidak benar dan menindas malah bersifat kolot.

Di masa dunia mengakui peranan “Si Pemprotes” sebagai pemacu pembaharuan sosial seperti di negara-negara Timur Tengah dan Afrika di mana orang awam yang rata-ratanya anak muda seperti Adam Adli telah melumpuh dan menumpaskan rejim-rejim kuku besi di negara mereka. Hanya rejim kuku besi sahaja yang akan takut dan mengambil pendekatan menghukum terhadap tindakan protes aman seperti yang dilakukan oleh Adam Adli dan rakan-rakan.

Tindakan pihak universiti menghukum Adam Adli sebenarnya telah mencemar nama baik institusi pengajian tinggi yang tertua di Malaysia tersebut, dengan para alumninya seperti Ibrahim Yacoob dan Pendeta Za’ba yang begitu lantang mengemukakan kritikan terhadap kezaliman dan kepincangan semasa, termasuk terhadap pihak pemerintah.

DAPSY Pulau Pinang berpendapat keberanian Adam Adli serta kumpulan mahasiswa yang menentang undang-undang tidak adil seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) adalah amat tepuji. Justeru, DAPSY Pulau Pinang menyeru agar pihak universiti menarik balik keputusan tersebut dan membebaskan institusi pendidikan negara daripada cengkaman politik partisan yang sempit dan hanya berpihak kepada pemerintah tanpa kritis.

Steven Sim Chee Keong
Bendahari DAPSY Pulau Pinang
merangkap Ahli Majlis Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP)

About stevensim

www.about.me/stevensim

Discussion

Trackbacks/Pingbacks

  1. Pingback: NEWS: UPSI gets more flak over Adam Adli suspension « www.STEVENSIM.org - January 10, 2012

%d bloggers like this: