Bahasa Malaysia, Community, Economy, Featured, General, Govt

PRESS: MPSP akan melaksanakan dasar baru pro-pekerja Malaysia pada 2012

281011 | Bukit Mertajam

Sukacitanya dimaklumkan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), di Pulau Pinang akan memperkenalkan dasar baru bagi membela kebajikan pekerja. Perlaksanaan dasar-dasar ini akan bermula tahun 2012 dengan rombakan semula kontrak pembersihan MPSP.

Pada masa kini, pekerja paling rendah dalam MPSP adalah dalam kategori “Pekerja Awam” bergred R1. Gaji permulaan mereka adalah kira-kira RM1,200 termasuk elaun tetap bulanan. Pekerja dalam kategori ini adalah umumnya pekerja pembersihan. Bagi membela nasib mereka, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga telah mengumumkan elaun khas bulanan RM150 kepada pekerja-pekerja pasukan 3D – mereka yang melakukan pekerjaan “dangerous, dirty, difficult”. Ini termasuklah pekerja pembersihan am yang digaji oleh MPSP. Justeru, pampasan total (total compensation) para pekerja gred paling rendah di MPSP adalah sekurang-kurangnya RM1,350 sebulan.

Di sudut yang lain, MPSP kini mempunyai lebih kurang 2,000 pekerja pembersihan yang digaji di bawah kontraktor-kontraktor pembersihan swasta. Kajian ringkas menunjukkan bahawa pekerja-pekerja ini bergaji antara RM600-RM750 sebulan dan kebergantungan terhadap pekerja migran amat tinggi, iaitu kira-kira 75-80% daripada mereka adalah warga asing.

Justeru, pada tahun 2012, MPSP telah mewajibkan kontraktor-kontraktor pembersihan swasta di bawah kontrak majlis mengambil sekurang-kurangnya 70% pekerja mereka, warga negara Malaysia. Gaji pokok pekerja ini pula perlu sekurang-kurangnya RM800, tidak termasuk elaun yang berhak diterima. Jika dikira elaun, gaji bulanan pekerja-pekerja tersebut mungkin mencecah RM1,000-RM1,100.

Kesannya, MPSP akan mewujudkan lebih kurang 1,500 peluang pekerjaan kepada warga negara Malaysia dengan kadar gaji antara RM800-RM1,100 sebulan. Ini bukan sahaja mampu mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja migran tidak mahir dan meningkatkan mutu perkhidmatan pembersihan, malah selaras dengan dasar pro-pekerja Kerajaan Negeri untuk mendukung masyarakat setempat terutamanya golongan berpendapatan rendah di Pulau Pinang di masa keadaan pasaran kerja yang tidak memberangsangkan. Dengan adanya pekerjaaan-pekerjaan bergaji sederhana ini, maka masyarakat golongan terbawah sedikit sebanyak dilindungi daripada angin kencang krisis ekonomi global.

Steven Sim
Ahli Majlis, MPSP

 

 

About stevensim

www.about.me/stevensim
%d bloggers like this: