Bahasa Malaysia, Featured

1Malaysia: Kebanggaan ataupun…?

1Malaysia ini bermulalah daripada usaha Perdana Menteri (PM) Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk menang semula undi bukan Melayu yang telah beralih sokongan mereka kepada Pakatan Rakyat sejak pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac 2008. Perdana Menteri yang juga berupa Presiden UMNO ingin menonjolkan suatu stail pemerintahan yang berbeda daripada sifat perkauman UMNO terdahulu. Maka, mengikut jejak presiden-presiden UMNO yang lalu yang memang gemarkan slogan, PM kita pun mencanang cap 1Malaysia ini berserta dengan slogan “Rakyat didahulukan Pencapaian diutamakan”. Ini merupakan satu rayuan kepada Rakyat jelata bahawa UMNO-Barisan Nasional (BN) sudah berubah, tidak lagi menegakkan satu-satu kaum, tetapi melayan semuanya sama. Mesej yang satu lagi pula ialah UMNO-BN sudah bertaubat, tidak lagi berasuah, kini pemerintah mementingkan Rakyat, dan bukannya kroni. Begitulah salasilah asal usul cap 1Malaysia.

Dalam satu versi lain pula, Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Dato Seri Anwar Ibrahim pernah mengemukakan bukti bahawa ilham cap 1Malaysia ini datangnya daripada sebuah syarikat perhubungan awam (public relation) Amerika Syarikat iaitu APCO. APCO yang dibayar RM77juta oleh Kerajaan Malaysia untuk mengilap imej pemerintah dikatakan mempunyai hubungan erat dengan rejim zionis dan malah cap 1Malaysia ini dikatakan ditiru daripada jenama 1Israel yang terdahulu.

Apa-apapun, kini cap 1Malaysia ini senantiasa berada di bibir pemimpin dan ahli parti pemerintah Barisan Nasional. Di mana-mana sahaja, apabila Barisan Nasional ini berkumpul, maka akan kelihatan beramai-ramai penyokongnya angkat jari menuding langit sambil melaung “1Malaysia” berkali-kali bagaikan membaca mantera.

Yang peliknya, cap 1Malaysia ini bukan sahaja menjadi mantera di majlis keramaian Barisan Nasional, malah cap 1Malaysia ini kini muncul di merata tempat. Keadaan ini memuncak apabila tibanya waktu pilihan raya, di mana bas membawa agen-agen yang berpakaian cap1Malaysia, lengkap dengan topinya sekali akan berpusu-pusu turun berkempen untuk parti1Malaysia, Barisan Nasional. Dari mana datangnya kumpulan agen-agen cap 1Malaysia ini tidak diketahui, tetapi yang nyata ialah, mereka turun ke padang membawa pelbagai barangan kegunaan yang bercap, ya betul, 1Malaysia. Ada beg galas 1Malaysia, ada baju dan topi1Malaysia, ada kipas tangan 1Malaysia, ada pula “tupperware” cap 1Malaysia.

Cuba kita renungkan. Sebenarnya konsep 1Malaysia ini ada potensi yang besar jika pemerintah benar-benar ikhlas. Ianya mampu mengguling dasar assabiyah parti-parti komponen dalam Barisan Nasional terutamanya UMNO, MCA dan MIC, sekaligus melahirkan satu perpaduan bangsa Malaysia yang baru. Namun apakah telah berlaku dengan konsep1Malaysia ini?

Pertama, PM tidak jujur dalam mengetengahkan konsep ini kerana apabila ditanya apakah makna di sebalik logo dan cap nama 1Malaysia, dijawabnya panjang lebar tanpa sebarang isi yang substantif. Apabila ditanya adakah 1Malaysia ini sama dengan konsep “Malaysia untuk Rakyat Malaysia” yang diperjuang berdekad-dekad lamanya oleh Parti Tindakan Demokratik (DAP) di mana setiap warga negara Malaysia patut diberi layanan yang sama, dijawab PM “tidak”. Apabila ditanya adakah 1Malaysia ini sama dengan perjuangan keadilan dan hak asasi manusia yang dibawa oleh parti Dato Seri Anwar Ibrahim, dijawab PM “tidak”. Apabila ditanya adakah 1Malaysia ini bercirikan kemanusian sejagat dalam Islam  yang diperjuangkan oleh PAS di mana umat manusia turunnya dari satu pasangan dan kepelbagaian etnik ini berupa kekuatan dan bukan faktor perpecahan, dijawab PM “tidak”.

Justeru, 1Malaysia ini merupakan makhluk Frankenstein yang tidak lengkap anggotanya kerana ada badan tak ada kepala, ada kaki tak ada tangan. Rakyat tidak tahu apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan aksi menuding jari ke langit dan mengulangi mantera 1Malaysiabertubi-tubi.

Tetapi apa yang lebih teruk lagi, kini cap 1Malaysia ini bukan sahaja satu retorik politik malah saban hari menjadi cap barangan pengguna yang mampu menyaingi cap “Made in China” yang banyak dilihat tertera pada barang runcit dan barang dagangan pasar malam. Daripada satu konsep kenegaraan, cap 1Malaysia kini menjadi sekadar cap barang runcit, cap baju, topi, beg dan tupperware. Daripada satu konsep yang berpotensi membina bangsa madani, cap1Malaysia kini menjadi jenama barang kualiti bawahan dan menjadi hiasan billboard syarikat-syarikat komersil. Daripada satu konsep yang berpotensi menjana masa depan perpaduan negara, cap 1Malaysia ini telah menjadi jenama tandas awam dan kini pula jenama perkhidmatan emel.

Nampaknya kempen PM Najib berjaya, iaitu menyebarkan cap 1Malaysia secara meluas. Tetapi adakah hasilnya apa yang kita idamkan sebagai rakyat Malaysia – bahawasanya konsep perpaduan yang diwar-warkan oleh pemerintah itu adalah bersamaan dengan capbarang runcit, cap tandas dan cap emel? Dalam aspek ini, PM Najib gagal. Beliau gagal menawarkan kepimpinan yang unggul dan sebaliknya hanya menawarkan cap 1Malaysia, satu jenama yang setara dengan cap “Made in China”.

Steven Sim

Penulis merupakan Ahli Majlis MPSP (Majlis Perbandaran Seberang Perai) di Pulau Pinang dan sedang melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dalam jurusan Falsafah. Beliau juga merupakan Bendahari Pemuda Sosialis DAP Pulau Pinang.

About stevensim

www.about.me/stevensim

Discussion

Comments are closed.

%d bloggers like this: