Bahasa Malaysia, Featured, Govt, Politics

Sarawak: PAS, PKR tidak kalah…Rakyat yang menang

Pilihan raya negeri Sarawak yang baru sahaja selesai ini sudah tentu masuk ke dalam tawarikh politik negara sebagai pilihan raya yang bersifat revolusi selepas pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac 2008.

“Fixed deposit” – Hidup matinya BN di Sarawak

Sarawak, bumi Kenyalang telah sekian lama dilabel “fixed deposit” oleh Barisan Nasional (BN). Semasa berkempen di sana, barulah saya sedar betapa benarnya jolokan ini. Yang dikatakan “fixed deposit” ialah “fixed deposit” dalam bentuk undi dan dalam bentuk wang. Barisan Nasional di peringkat Persekutuan memerlukan undi-undi Rakyat Sarawak untuk memenuhkan kerusi Parlimen sebelah Kerajaan. Tetapi bukan sahaja setakat itu, malah kekayaan Sarawak, ataupun lebih tepat lagi, kekayaan pemimpin-pemimpin politik di Sarawak menjadikan mereka pembekal sumber kewangan kepada Barisan Nasional di peringkat pusat. Pernah sekali, pengakuan bekas Ahi Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing bahawa beliau telah memberikan sumbangan sebanyak RM10juta kepada Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat. Dengan harta empunya Ketua Menteri Sarawak Pehin Seri Taib Mahmud yang bernilai dalam kurungan berbillion ringgit, menjadikan beliau antara ahli politik terkaya di Malaysia, pemimpin BN di Sarawak mempunyai keutuhan kewangan yang hanya boleh dicemburi oleh pemimpin BN di Semenanjung, walau UMNO sekalipun. Tiong King Sing semasa kemuncak isu sumbangan RM10 juta juga telah mengaku bahawa beliau pernah menyalurkan dana politik kepada pemimpin BN yang lain di sebelah barat Laut China Selatan.

Kepentingan BN, terutamanya UMNO, di Sarawak tidak dapat disangkal. Perintah Sarawak, maka perintah Persekutuan, kalah Sarawak, maka kalah Persekutuan.

Dalam pada berkempen untuk pilihan raya negeri Sarawak kali ini, pemimpin BN peringkat pusat telah menampakkan ketakutan mereka. Gelombang reformasi dan perubahan yang dijana pada pilihan raya umum 308 bagaikan telah melanda bumi Kenyalang. Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Tun Razak, Presiden UMNO telah menunjukkan tanda-tanda hilang keyakinan terhadap kemampuan Taib Mahmud selaku pengerusi BN Sarawak untuk mengekalkan kuasa BN di negeri tersebut. Malah, Perdana Menteri merelakan kemenangan bersahaja, kurang daripada ⅔ majoriti yang sememangnya selesa dipegang BN selama ini. Bayangkan PM sendiri tidak berkeyakinan untuk mengekalkan ⅔ bagi BN di Sarawak walaupun pencapaian paling baik Pembangkang dalam pilihan raya negeri sebelum ini ialah sekadar 7 daripda 71 kerusi. Pemimpin BN pusat, termasuklah Najib juga memberi tekanan kepada Taib Mahmud, Ketua Menteri paling lama di Malaysia untuk berundur daripada jawatan tersebut disebabkan oleh tuntutan yang begitu memuncak oleh rakyat Sarawak sendiri.

Keputusan PRN Sarawak 416 – Taib kukuh tetapi Najib gentar

Keputusan pilihan raya negeri Sarawak pada 16 April jelas menunjukkan dua perkara. Pertama, Taib Mahmud bukan calang-calang orang. Parti beliau, parti komponen utama BN Sarawak, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) telah menang 100%, iaitu kesemua 35 kerusi yang ditandingi. Taib Mahmud dari mulanya tidak mengendah kebimbangan BN pusat walau Perdana Menteri sekalipun. Drama “letak jawatan-tidak letak jawatan” adalah contoh terbaik; PM telah memberikan isyarat supaya Taib berundur, tapi Taib membalas dengan isyarat, “Saya lah Rajah di Sarawak bukan PM dan saya tak akan berundur”. Kini UMNO dan BN pusat sudah merasai kekebalan Taib Mahmud yang berusia hampir 80 tahun itu. Ada yang berpendapat beliau mengamalkan ilmu sihir, tapi yang jelas, sihir wang masih mengongkong Sarawak pedalaman, kawasan di mana terletaknya hampir semua kerusi PBB.

Keduanya, kebimbangan Najib dan UMNO terbukti benar. Arus perubahan kini sampai di persisiran Sarawak. Kali ini, perikatan pembangkang Pakatan Rakyat (PR) berkempen bukan dengan omong-omong kosong seperti yang selalu dituduh oleh BN. Kali ini, kempen PR lengkap dengan bukti, fakta dan saksi kejayaan yang dikecapi negeri-negeri di bawah tadbir PR – Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan untuk seketika Perak. Rakyat Sarawak, melalui Internet dan melalui saudara mara yang bertandang ke Semenanjung terutamanya di kota-kota besar yang rata-ratanya di negeri PR, juga mendengar tentang kemakmuran yang dinikmati hasil daripada urus tadbir baik, anti korupsi anti kronisme dan pengurusan ekonomi yang berjiwa rakyat. Ini dibandingkan dengan kemiskinan rakyat Sarawak yang begitu kronik sedangkan negeri tersebut kaya dengan pelbagai sumber.

Justeru, Pakatan Rakyat telah menggandakan bilangan kerusi daripada 7 pada penggal lepas kepada 15.

Bukan setakat itu, malah undi popular untuk Pakatan Rakyat, iaitu jumlah undi yang berjaya diperoleh secara keseluruhan, mencecah hampir 45%. Ini bermakna hampir separuh daripada rakyat Sarawak telah meletakkan keyakinan pada agenda reformasi yang ditawarkan oleh Pakatan Rakyat. Keputusan ini juga menunjukkan bahawa terdapat peralihan lebih kurang 8% undi BN kepada PR. Ini merupakan tanda-tanda awal bahawa fixed deposit” BN telah dipecahkan buat kali pertamanya. Jika trend ini berterusan sehingga pilihan raya umum ke-13 dan dilihat dari keputusan kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), maka ada mungkinnya PR boleh menang sehingga 10 kerusi Parlimen di Sarawak berbanding 2 kerusi pada pilihan raya umum ke-12. 10 kerusi pasti menjadi pertandingan di peringkat Parlimen lebih sengit lagi, terutamanya jurang antara Kerajaan dan Pembangkang di Parlimen kini hanya 62 kerusi (tidak mengira calon dan parti Bebas).

Siapa kalah? Siapa menang?

Kekalahan paling besar pada kali ini ialah UMNO-BN, terutamanya di peringkat pusat. Ini kerana, sudah jelas hegemoni UMNO menunggu dipecahkan sehabis-habisnya. Kini rakyat tidak mengundi parti pemerintah secara lalai ataupun default. “Fixed deposit” undi BN di Sarawak kini tidak boleh diharapkan untuk menyumbangkan undi tetap kerusi Parlimen. Pemimpin-pemimpin BN di Sarawak pula terpaksa mengubat kekalahan maruah dan kerugian kewangan dalam kempen paling sukar bagi BN dalam sejarah politik Sarawak. Ada taukeh-taukeh menteri yang hilang kerusi kepada orang baru dalam Pakatan Rakyat. Dalam keadaan ini, dan dengan barisan Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Sarawak yang dua kali ganda lebih kuat daripada sebelum ini, maka hubungan BN Sarawak dan BN Semenanjung kini menjadi “lu jaga sama diri lu, gua jaga sama diri gua”.

Siapa pula yang menang? Ramai pemimpin BN berpendapat bahawa kemenangan kali ini adalah kemenangan DAP manakala PAS dan PKR telah kalah. Namun pendapat saya berbeda.

Pertama sekali, tentang PAS. Parti Islam tersebut tidak kalah, malah berjaya julung kalinya telah menembusi dinding politik perkauman yang didirikan oleh BN yang menakutkan majoriti penduduk Sarawak yang beragama Kristian terhadap Islam. Dalam kempen di kawasan majoriti Cina, SUPP, parti komponen BN yang dulunya parti kedua terbesar di Sarawak telah meniru kempen MCA-Gerakan di Semenanjung dengan menakut-nakutkan pengundi bukan Islam bahawa sokongan terhadap DAP adalah sokongan terhadap PAS yang bercorak Islamik. Malah terdapat kain rentang SUPP yang kononnya Islam itu merendahkan martabat wanita walaupun pada hakikatnya SUPP langsung tidak menawarkan calon wanita pada pilihan raya kali ini sedangkan PAS telah menawarkan 2 orang wanita daripada 5 calon mereka. Kegagalan SUPP sehinggakan Presiden mereka, Tan Sri Dr. George Chan yang merupakan timbalan ketua menteri Sarawak, kalah kerusi beliau menunjukkan isu kerjasama DAP dan PAS dalam Pakatan Rakyat tidak menjadi masalah kepada pengundi bukan Islam. Malah pendirian PAS yang munasabah dalam isu kalimah Allah dan Al-Kitab Bahasa Malaysia berbanding pendirian UMNO yang ekstrimis dan dikatakan “bodoh” oleh Taib Mahmud sendiri telah mendapat sambutan baik pengundi bukan Islam di Sarawak.

Selain daripada itu, prestasi PAS di 5 kerusi yang ditandingi jelas meningkat, dengan majoriti berkurangan bagi BN di Subuyau, Beting Maro, Tanjung Datu dan pencapaian yang lebih baik di Maura Tuang walaupun keputusan di Sadong Jaya telah memberikan kekecewaan mengecut buat parti tersebut.

Bagi PKR pula, jentera PKR yang baru berumur 10 tahun walau di arena politik pusat yang relatifnya baru setahun jagung dalam politik arus perdana terpaksa bertembung dengan jentera gergasi bukan sahaja parti BN-PBB malah penyalahgunaan kuasa Kerajaan Pusat memperalatkan jentera kerajaan dalam kempen BN-PBB. Parti tersebut telah berjaya menangkis pelbagai harungan, daripada krisis kepimpinan di Sarawak kepada serangan bertubi Barisan Nasional terhadap Ketua Umum Dato Seri Anwar Ibrahim, daripada rundingan kerusi yang akan ditandingi kepada kemarau sumber ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat. Dalam konteks ini, PKR dengan berani telah menyahut cabaran melawan BN di 48 kerusi dan telah berjaya menganda-tigakan kerusi parti tersebut di Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Justeru, PAS dan PKR tidak kalah. Malah kemenangan 13 kerusi DAP merupakan kemenangan bersama jentera Pakatan Rakyat yang mengembleng seberapa sumber yang ada walau hanya sesuap. Rakyat tidak memilih setiap parti komponen PR ini berasingan daripada rakan koalisi. Rakyat jelas memilih dengan kesedaran bahawa agenda perubahan adalah agenda bersama Pakatan Rakyat, bukan setakat ideologi parti komponen secara bersendirian. Walaupun tidak dapat disangkal bahawa terdapat kelemahan di beberapa tempat dalam muafakat Pakatan Rakyat, namum yang jelas ialah setidaksempurnanya Pakatan Rakyat, koalisi ini jauh menjangkaui Barisan Nasional sebagai pilihan rakyat yang sudah jerit dengan budaya korupsi, kronisme dan kapitalisme berleluasa yang diamal oleh pemerintah.

Dalam pilihan raya negeri Sarawak kali ini, PAS dan PKR tidak kalah. Yang kalah itu UMNO-PBB dan Barisan Nasional. Yang menang itu, Rakyat Malaysia yang mengidamkan perubahan daripada hegemoni separuh abad Barisan Nasional. Ayuh, kita mara ke PRU ke-13!

Steven Sim
Penulis merupakan Ahli Majlis MPSP (Majlis Perbandaran Seberang Perai) di Pulau Pinang dan sedang melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dalam jurusan Falsafah. Beliau juga merupakan Bendahari Pemuda Sosialis DAP Pulau Pinang.

About stevensim

www.about.me/stevensim

Discussion

Comments are closed.

%d bloggers like this: