Bahasa Malaysia, Govt, Mind, Philosophy, Politics

Fenomenologi Rahsia: Jubah Tukang Silap Mata

English version here

Rahsia mempesonakan kita. Pernahkah anda rasa teramat sangat ingin tahu tentang sesuatu rahsia seorang teman? Ataupun rasa begitu hairan apa yang tersembunyi di sebalik topi tinggi dan jubah tukang silap mata? Ataupun obses dengan teori konspirasi tentang mesej rahsia di sebalik lukisan Leonardo Da Vinci dan tentang fasiliti militer sulit?

Rahsia rasanya begitu menawan kepada kita. Sebenarnya, pada pendapat saya, rahsia bukan sahaja menawan imaginasi kita, tetapi lebih dari itu, rahsia menghairahkan kita bagaikan magik dan kemudiannya melumpuhkan kita.

Dalam filsafat Baconian, pengetahuan adalah kuasa. Mengetahui sesuatu bermakna kita mempunyai kelebihan ke atasnya. Pengetahuan tentang sesuatu benda membolehkan kita meletakkan had eksistensial ke atas benda itu. Dalam kata lain, kita menidakkan apa yang tidak betul tentangnya. Ini seterusnya membolehkan kita membuat keputusan yang termaklum (informed decision) dalam tindakan kita terhadap benda tersebut. Acap kali, pengetahuan tentang sesuatu benda membolehkan kita untuk mengawal serta memanipulasikannya. Setidak-tidaknya, pengetahuan berpotensi memberikan kita kuasa kawalan tersebut.

Justeru, memiliki rahsia adalah setara dengan memonopoli pengetahuan. Dalam monopoli ini, kita mempunyai kelebihan daripada yang lain kerana pengetahuan yang kita ada. Tetapi saya ingin mengatakan bahawa kelebihan ini bukan sahaja dalam maksud kita mempunyai sumber yang lebih banyak berbanding yang lain, tetapi sebenarnya, ia kelebihan dalam erti kata, kita mempunyai senjata yang lebih baik berbanding yang lain.

Berahsia adalah satu perhubungan subservient (tuan-dan-hamba) antara pemilik rahsia dengan yang lain. Memegang ataupun memiliki sesuatu rahsia memberikan superioriti dan kuasa, seperti memakai lensa infra-merah dalam pertempuran malam. Dalam konteks ini, pemilik rahsia bukan saja rasa dirinya berkuasa kerana dapat melihat lebih jelas berbanding yang lain, tetapi karena yang lain tidak dapat melihat dalam kegelapan. Untuk yang lain pula, kita berasa lemah dan lumpuh, seperti dalam filem Predator, sedang diburu oleh sesuatu yang mempunyai penglihatan yang jauh lebih cekap daripada kita. Kita boleh berlari, tetapi kita tidak ada tempat untuk bersembunyi.

Sesebuah kerajaan yang berahsia dengan rakyat menghasil hubungansubservient sebegini. Kerajaan tersebut mempunyai kelebihan cermin mata night googles, dan cekap memburu yang lain dalam kegelapan. Tambahan pula ia mempunyai mantel ghaib seperti Harry Potter. Rakyat tidak dapat mengenalpasti salahlaku di persekitaran mereka kerana salahlaku itu dirahsiakan. Rakyat diburu, oleh musuh halimunan. Rakyat diberitahu bahawa rahsia negara adalah untuk kebaikan mereka, untuk keselamatan negara. Andaian awal hujah ini ialah, rakyat adalah segerombolan dengan musuh dan akan mengadaikan keselamatan negara sekiranya diberi kecapaian rahsia kerajaan. Rakyat dalam konteks ini telah menjadi musuh negara, enemy of the state.

Tetapi, hakikatnya, rahsia adalah untuk keselamatan pemilik rahsia, bukan yang lain. Karena rahsia di sebalik jubahlah tukang silap mata terus menghairahkan kita dengan persembahannya.

 

About stevensim

www.about.me/stevensim

Discussion

Trackbacks/Pingbacks

  1. Pingback: The Phenomenology of Secrets: The Magician’s Cloak « - March 15, 2011

%d bloggers like this: