Community, Featured, Gender, Philosophy, Politics

Kesaksamaan Gender: Langkah ke hadapan

Status wanita dalam masyarakat

Dunia kita sentiasa dalam perubahan. Itu adalah hakikat. Ada satu zaman dahulu, wanita tidak dibenarkan untuk menyertai kehidupan awam. Wanita tidak boleh menjadi pemimpin masyarakat, tidak boleh bekerja di luar rumah, sehinggakan ada yang tidak dibenarkan keluar ke rumah untuk mengaji di sekolah. Jika diundurkan sedikit ke belakang lagi, ada zamannya wanita bagaikan harta kepada lelaki, jika belum kahwin, harta ayahanda dan jika sudah kahwin harta si suami. Dalam sistem feudal, tidak kurang puteri-puteri raja dan bangsawan dijadikan alat politik untuk mengukuhkan pengaruh melalui jalinan perkahwinan.

Demokrasi Athens kuno sering diangkat sebagai model sistem politik yang unggul kerana rakyat biasa diberi peluang menyertai proses membuat keputusan. Namun perlu diingatkan bahawa bukan semua rakyat mahraen boleh berpartisipasi dalam demokrasi Athens kuno; di antaranya, wanita ialah golongan yang tidak dibenarkan menyertai dewan politik Athens di Aerophagus. Dalam sejarah tanah Arab disebut satu period sejurus sebelum kedatangan Islam yang dikenali sebagai jahiliyah. Semasa zaman jahiliyah, melahirkan anak perempuan dianggap “merugikan” dan jika mendapat bayi perempuan, maka keluarga tersebut akan mendapat malu sebegitu besar sehinggakan bayi-bayi perempuan ada yang dikebumikan hidup-hidup.

Zaman-zaman tersebut mungkin terasa jauh dari zaman kita yang moden (perkataan moden itu asalnya dari Latin yang membawa maksud “kini” ataupun dalam Bahasa Inggeris “now“). Sekarang, wanita mendapat pendidikan setara dengan lelaki di sekolah dan universiti. Wanita dibenarkan keluar rumah untuk berkerjaya dan berkecimpung dalam aktiviti masyarakat. Setiap wanita ada satu undi semasa pilihan raya sebagaimana setiap lelaki mempunyai satu undi.

Kesaksamaan gender ialah nilai sejagat

Disebut sahaja “kesaksamaan gender”, ramai yang akan menjeling, Ada yang berpendapat itu konsep Barat. Tapi, adakah ketidaksaksamaan gender itu konsep ketimuran kita? Saya percaya tidak. Barat ada masanya menindas wanita, begitu juga dengan Timur. Dalam filsafat Barat pada tahap keunggulannya ada tempat untuk keadilan gender dan dalam tradisi filsafat Timur, ada juga unsur-unsur yang mengangkat kemuliaan manusia tak kira darjat, kaum dan gender.

Justeru, kesaksamaan gender bukan satu konsep yang asing. Ianya ada kaitan dengan keadilan sosial. Dalam bicara keadilan sosial, setiap manusia mempunyai kemuliaan (“dignity”) yang asas sebagai manusia. Dalam kata lain, setiap manusia yang dilahirkan dengan hak setara untuk mengekalkan maruah diri mereka sebagai manusia. Dalam Deklarasi Kemerdekaan Amerika Syarikat, para Bapa Perintis (Founding Fathers) menulis:

“Kami menganggap kebenaran-kebenaran ini sebagai terbukti dengan sendirinya: Bahawasanya semua manusia diciptakan setara, bahawasanya mereka dikurniakan oleh Sang Pencipta beberapa hak yang tidak dapat dicabuti, bahawasanya antara hak-hak tersebut termasuklah hak untuk Hidup, Kebebasan dan mencari Kebahagian”

Ini bermakna, sebelum kita melihat diri kita sebagai lelaki ataupun perempuan, kaya ataupun miskin, Melayu ataupun Cina, India, Iban, Kadazan, kita semua lahirnya manusia yang mempunyai hak-hak tertentu dan hak-hak ini adalah setara tidak mengira darjat, kaum dan gender. Justeru, kesaksamaan gender ini bukan perkara baru. Ianya salah satu daripada sayap keadilan sosial. Seorang pejuang hak asasi wanita tersohor di Malaysia Yang Berhormat Puan Chong Eng, Ahli Parlimen Bukit Mertajam sering mengingatkan saya bahawa, “tiada keadilan sosial tanpa keadilan gender”. Jika kita meminggirkan keadilan kepada wanita yang terdiri daripada 50% populasi negara kita, maka tiada maknanya kita berhujah tentang keadilan sosial. Kita akan menjadi seperti Athens Yunani purba, di mana demokrasi itu hanya terbuka kepada golongan tertentu sahaja.

Kepelbagaian sebagai kekuatan

Apakah konsep keadilan gender itu bermakna lelaki itu sama dengan wanita? Tidak. Dari segi biologinya, wanita dan lelaki ternyata berbeza – begitu juga setiap manusia itu berbeza antara satu sama lain. Akan tetapi perbedaan antara manusia sama ada sesama kita atau antara lelaki dan wanita tidak patut dijadikan faktor diskriminasi. Islam, agama rasmi Persekutuan mengajar bahawa kepelbagaian di kalangan manusia ialah sesuatu yang patut diraikan:

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu saling berkenal-kenalan (Surah Al Hujurat, ayat 13)

Justeru sama ada dari segi tuntutan agama ataupun prinsip keadilan sejagat, perbedaan antara gender bukan untuk kita menindas sesama sendiri, ataupun berkelahi, tetapi supaya kita saling berinteraksi membina umat manusia ini. Kepelbagaian merupakan kekuatan kita, lelaki, wanita, Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Orang Asal, kita saling melengkapi. Tiada manusia yang sempurna, tetapi apabila kita berkenalan antara satu sama lain, apabila kita menggembleng kudrat,nescaya kita akan dapat mencapai sebuah tamadun manusia yang lebih madani.

Kesaksamaan gender bukan seperti membahagi epal

Dalam konsep kesaksamaan gender, kepelbagaian ini patut diambilkira semasa kita mengagihkan sumber supaya adil kepada kedua-dua kaum lelaki dan kaum wanita. Ada sesetengah pihak yang berkata, “kita gender neutral”; wanita dan lelaki menerima layanan yang sama. Tetapi, perspektif pembangunan yang “gender neutral” ini seringkali bermakna ia lebih menjurus kepada kaum lelaki. Contohnya pembinaan kemudahan rekreasi, jika Kerajaan mengambil pendekatan “gender neutral”, maka selalunya yang dibina ialah padang bola sepak. Bukan kata wanita tidak bermain bola sepak, tetapi keperluan rekreasi wanita tidak diambil kira. Ini termasuk kemudahan sukan yang lebih diminati kaum wanita sehinggalah faktor-faktor keselamatan dan keselesaan di tempat rekreasi. Justeru, kesaksamaan gender bukan seperti membahagi epal samarata antara lelaki dan wanita. Kita patut mengambilkira implikasi sesuatu dasar dan perancangan ke atas gender.

Tahun ini merupakan tahun ke-101 sambutan Hari Wanita Sedunia. Kita sepatutnya lebih baik dari 101 tahun dahulu. Zaman sudah berubah, kita tidak patut kembali ke zaman jahiliyah, sama ada jahiliyah Yunani mahupun jahiliyah Arab. Ayuh kita selaraskan perspektif kita – semoga Hari Wanita 8 Mac ini membawa penghayatan baru kepada konsep gender dan kesaksamaan. Selamat Hari Wanita!

About stevensim

www.about.me/stevensim

Discussion

Comments are closed.

%d bloggers like this: