Community, Gender, Govt

Ucapan penangguhan Mesyuarat Majlis Penuh MPSP Feb 2011 – Penubuhan J/k Pengarusperdanaan Gender

My adjournment speech at the MPSP 24 February 2011 full council meeting. In the speech, which I dedicated to the annual 8 March International Women’s Day, I call for the establishment of a Gender Mainstreaming Committee to review the local government’s policies to ensure gender justice. I also call for the local government to collect and publish gender disaggregated data in order to better measure the impact of policies towards both male and female. Both suggestions were immediately approved by council President Tn. Hj Mokthar Md. Jait and adopted by the council. MPSP is the first local government in Malaysia to establish such practice! Happy International Women’s Day to all!

Ucapan penangguhan saya di mesyuarat Majlis Penuh MPSP pada 24 Februari 2011. 

———-

Tuan YDP, Setiausaha Perbandaran, Ahli-Ahli Majlis, Ketua-ketua Jabatan, para wartawan media, para hadirin yang saya hormati

Dua minggu lagi, 8 Mac akan menjelang. Dalam sejarah politik tanah air, 8 Mac ataupun 308 merupakan hari perubahan dan reformasi, di mana kuasa rakyat telah terbukti berupaya mengubah lanskap politik Negara. Tetapi izinkan saya di sini mengalihkan perhatian majlis yang mulia ini kepada satu lagi makna 8 Mac, satu makna yang usianya lebih 10 dasawarsa.

Negara kita, bersama dengan komuniti global menyambut Hari Wanita Sedunia setiap tahun pada 8 Mac. Tahun ini merupakan ulangtahun ke-101 sambutan Hari Wanita Sedunia.

Pada tahun 1995, Kerajaan Malaysia telah meratifikasikan CEDAW ataupun Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita. Antara lain, CEDAW mencadangkan sekurang-kurangnya 30% penglibatan wanita di peringkat pembuat keputusan. 15 tahun selepas CEDAW, negara kita masih jauh daripada saranan konvensyen tersebut. Di peringkat Parlimen, hanya 10% Ahli Parlimen wanita, di Kabinet, tidak pernah ada lebih 3 orang Menteri wanita. Pada masa kini, hanya 2 orang Menteri wanita di antara 30 Menteri Kabinet. Di sektor awam, hanya terdapat lebih kurang 15% wanita di peringkat pengurusan tertinggi.

Di negeri Pulau Pinang pula, hanya 3 orang ADUN wanita di kalangan 40 Ahli Dewan Undangan Negeri dan hanya seorang EXCO wanita daripada 11 orang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Dalam majlis yang mulia ini, ahli majlis wanita hanya 3 orang, ataupun lebih kurang 13% daripada jumlah ahli majlis.

Justeru, dari segi pengaruh di peringkat pembuat keputusan tertinggi ketiga-tiga kerajaan tempatan, negeri dan persekutuan, wanita masih jauh ketinggalan.

Apakah implikasinya peningkatan penglibatan wanita sebagai pembuat keputusan kepada MPSP? Izinkan saya ketengahkan empat hujah.

Pertama sekali, pemberdayaan wanita ialah perjuangan hak asasi. Jika wanita yang terdiri daripada separuh populasi negara tidak terbela, maka segala dasar keadilan sosial tidak membawa makna.

Keduanya, wanita membawa perspektif unik dan tersendiri kepada isu-isu yang dibincangkan. Wanita lebih menitikberatkan implikasi sesuatu dasar terhadap hal ehwal wanita, kanak-kanak dan warga mas serta keperluan dan pembangunan keluarga. Jika kita meminggirkan pendapat wanita, maka kita mungkin akan melihat sesuatu isu itu secara berat sebelah.

Ketiga, satu kajian OECD menunjukkan bahawa peningkatkan penglibatan wanita dan amalan kesaksamaan gender ada kaitan dengan pembangunan ekonomi. Pada masa kini, kadar penyertaan tenaga buruh wanita (LFPR) di Malaysia hanyalah lebih kurang 40% dan angka ini tidak berubah sejak 20 tahun yang lalu. Perdana Menteri telah mensasarkan peningkatan kepada 55% menjelang 2015. Logiknya mudah, jika kita tidak memberi peluang kepada separuh daripada populasi negara dan negeri kita untuk berkecimpung aktif dalam pasaran kerja, maka kita telahpun “under-utilize” ataupun tidak memanfaatkan sepenuhnya sumber manusia yang kita miliki.

Keempat, laporan Bank Dunia pada tahun 2001 menunjukkan bahawa kes rasuah lebih rendah dalam sektor yang melibatkan lebih ramai wanita. Dalam kita melawan rasuah dan bergerak ke arah tadbir urus baik, penglibatan wanita dialu-alukan untuk membawa nafas moral baru dan menegakkan semula kepercayaan terhadap sektor awam.

Apakah yang boleh kita lakukan sebagai sebuah kerajaan tempatan?

Terlebih dahulu, saya berpendapat dasar majlis mestilah mengambil kira perspektif gender. Dalam kata lain, apakah implikasi sesuatu dasar itu kepada kaum lelaki dan juga kepada kaum wanita? Mungkin ada yang kata, kita adil kepada semua, kita buta gender, ataupun “gender blind” dan “gender neutral” – “lelaki dan wanita semuanya sama”.

Tetapi, sesuatu dasar yang “gender neutral” biasanya berpotensi menjadi dasar yang menindas sesuatu gender kerana terlalu umum. Contohnya, apabila kita menyediakan kemudahan sukan dan rekreasi secara umum dan “gender neutral” ataupun “gender blind”, kemudahan sukan tersebut akhirnya mungkin meminggirkan keperluan kaum wanita dan hanya memfokuskan kepada keperluan sukan dan rekreasi kaum lelaki sahaja.

Justeru, bermula dari sekarang, kita perlu menanya 3 soalan tentang dasar majlis:

  1. Apakah implikasi dasar tersebut terhadap kaum lelaki dan kaum wanita masing-masing?
  2. Adakah sumber yang disalurkan mencapai kepada sasaran, lelaki dan wanita?
  3. Apabila sumber tersebut sampai kepada wanita, bagaimana ia boleh mengupayakan kaum wanita dalam bidang itu?

Untuk menjawab soalan-soalan ini, kita perlukan satu paradigma baru dan data baru. Banyak data-data kita yang tidak membezakan dari segi gender dan hanya memberikan angka secara umum. Oleh itu, MPSP perlu mula untuk mengumpul data dan statistik yang membezakan gender agar kita dapat analisa keberkesanan sesuatu dasar ke atas pengupayaan wanita.

Di sini saya ingin mencadangkan supaya Tuan YDP mempertimbangkan penubuhan sebuah Jawatankuasa Pengarusperdanaan Gender (“Gender Mainstreaming Committee”) yang akan meninjau dasar-dasar serta operasi MPSP supaya mengambilkira keperluan gender agar MPSP menjadi Kerajaan Tempatan yang pertama mencapai matlamat kesaksamaan gender. Banyak lagi dasar dan program perlu dilaksanakan termasuk peluang pekerjaan saksama, skala gaji yang saksama antara lelaki dan wanita, peluang peningkatan dan kenaikan jawatan saksama, penganugerahan kontrak, pengagihan sumber kepada pembangunan setempat dan lain-lain lagi. Jawatankuasa Pengarusperdanaan Gender ini akan berfungsi menyediakan rangka kerja ataupun framework supaya, langkah demi langkah majlis akan menuju ke arah kesaksamaan gender.

Sekian sahaja ucapan penangguhan saya. Sebelum saya mengundurkan diri, izinkan saya merakamkan ucapan Selamat Hari Wanita kepada kaum hawa warga MPSP dan seluruh warga Seberang Perai. Sekian, terima kasih.

Steven Sim Chee Keong

(Photo source: Sin Chew)

About stevensim

www.about.me/stevensim

Discussion

Trackbacks/Pingbacks

  1. Pingback: NEWS: 章瑛:兩性平等元素注入政策‧沈志強為女性出頭讚 « - February 25, 2011

%d bloggers like this: