Govt

SPEECH: Ucapan Penangguhan Mesyuarat Majlis Penuh MPSP, Jan 2011

The text of my adjournment speech at my FIRST MPSP full council meeting.

———-

Yang Dihormati Tuan Yang Dipertua

Yang Dihormati Tuan Setiausaha Perbandaran

Yang Berusaha, Ketua-ketua Jabatan

Ahli-ahli Majlis

Para wartawan dari media

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada YDP dan seluruh warga MPSP termasuk rakan-rakan seperjuangan saya yang telah menghulurkan kerjasama sejak perlantikkan saya pada 7 Januari yang lepas. Saya sebagai orang baru berjanji akan menjalankan tanggungjawab saya sedaya upaya saya bagi memenuhi harapan besar pembayar cukai untuk sebuah perbandaran yang aman, bersih, indah, makmur dan bertaraf antarabangsa.

Saya mengucapkan syabas kepada seluruh warga MPSP kerana telah berjaya merekodkan lebihan kewangan RM15.5juta pada tahun 2010. Secara keseluruhannya, MPSP telah berjaya mempunyai lebihan kewangan sebanyak RM33.1juta dari tahun 2008 sehingga 2010.

Di sini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengingatkan bahawa lebihan kewangan yang tidak dapat diterjermahkan kepada peningkatan mutu perkhidmatan tidak membawa sebarang makna. Dalam kata lain, wang yang dijimatkan haruslah disalurkan kepada penambahbaikan perkhidmatan MPSP. Saya difahamkan bahawa, semasa MPSP mengalami defisit kewangan dan hutang yang tinggi, kita menghadapi masalah seperti kekurangan bekalan, perkakasan dan tenaga kerja. Ini sedikit sebanyak telah menjejaskan perkhidmatan kepada pelanggan.

Walaupun kita haruslah meneruskan usaha pengurangan pembaziran dan penjimatan sumber, saya berharap dengan rekod lebihan kewangan yang dicatatkan, MPSP akan memberikan fokus kepada peningkatan kualiti perkhidmatan mulai tahun ini.

Dari segi peningkatan kualiti ini, saya ingin mengetengahkan dua perkara. Satu ialah dasar tiada pintu yang salah ataupun “no wrong door policy”. Seperti dalam ucapan YAB Ketua Menteri semasa majlis perlantikkan Ahli Majlis pada 7 Januari yang lepas, saya berharap bukan sahaja Ahli Majlis mengamalkan dasar ini, tetapi seluruh warga MPSP. MPSP ialah sebuah entiti, dan setiap jabatan menggerakkan entiti ini secara muafakat bukan secara individulistik. Tiada di antara kita yang suka berulang-alik ke kaunter-kaunter berbeda kerana setiap kaunter mengatakan bahawa perkara yang dirujuk bukan di bawah bidangkuasanya. Jika benarpun itu bukan kerja jabatan kita, saya berharap kita akan membantu merujukkan kes pelanggan sehingga sampai ke jabatan atau unit yang berkenaan.

Perkara kedua yang saya ingin ketengahkan ialah tentang “response time”. Kita mestilah bertindakbalas terhadap aduan dan pertanyaan pelanggan dalam masa paling singkat mungkin. Saya rasa dalam aspek ini, MPSP telah bertambah baik kebelakangan ini. Tetapi, masih ada ruang untuk dipertingkatkan lagi. Satu contoh yang saya ingin berikan ialah berkenaan dengan urusan pentadbiran. Ahli Maljis telah dilantik sejak 7 Januari, tetapi sehingga kini (28 Januari), kami masih belum menerima pelekat letak kereta Ahli Majlis. Saya sedar, pelekat bukan perkara yang amat penting. Tetapi jika perkara yang mudah sebegini tidak dapat dilaksanakan dengan cepat dan berkesan, maka kita mungkin akan lalai dalam perkara yang lebih besar.

Saya amat tertarik dengan ucapan Tuan YDP pada 7 Januari iaitu, kita perlu membudayakan kualiti dan innovasi. Pembudayaan ini sudah tentu merujuk kepada setiap aktiviti dalam Majlis daripada pekara yang paling kecil setiap hari kepada isu-isu besar. Pembudayaan ini bermakna kita menjadikan kualiti dan innovasi sebagai satu kebiasaan sehinggakan tanpa disedari, kita akan melaksanakan kerja-kerja harian kita dengan sebegitu caranya.

Sekian sahaja ucapan saya, sebelum saya mengundurkan diri, izinkan saya merakamkan sekali lagi ucapan terima kasih kepada seluruh warga MPSP dan semoga muafakat kita pada tahun ini, akan menjadikan Seberang Perai perbandaran yang paling unggul di Malaysia.

About stevensim

www.about.me/stevensim

Discussion

Comments are closed.

%d bloggers like this: